Luno, bursa aset digital terkemuka di Malaysia, hari ini mengumumkan bahawa kesemua produk Staking dan fungsi Luno Large Cap Bundle kini disahkan patuh Syariah. Ini menjadikan Luno sebagai bursa aset digital kawal selia pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap produk pertumbuhan aset secara pasif yang disahkan patuh Syariah kepada pelabur tempatan.
Pensijilan ini diberikan selepas Sharlife Sdn. Bhd. (Sharlife), sebuah firma penasihat Syariah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, menjalankan penilaian Syariah bebas yang menyeluruh terhadap perkhidmatan Staking Luno bagi Polkadot (DOT), Avalanche (AVAX), Cosmos (ATOM) dan NEAR Protocol (NEAR), bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip Syariah.
Empat penambahan tersebut kini menyertai Ethereum (ETH), Solana (SOL) dan Cardano (ADA), yang telah disahkan patuh Syariah oleh penasihat Syariah bebas Luno antara Disember 2024 hingga Oktober 2025, menjadikan kesemua tujuh dompet Staking Luno disahkan memenuhi prinsip Syariah.
Dalam semakan yang sama, Sharlife turut mengiktiraf fungsi Bundle Luno Large Cap, yang menjejak Indeks CoinDesk 5 yang tersedia di Malaysia, sebagai patuh Syariah. Dilancarkan di Malaysia pada November 2024 dengan kerjasama CoinDesk Indices, fungsi Bundle memberikan pengguna Luno pendedahan kepada sehingga lima mata wang kripto terbesar berdasarkan permodalan pasaran dalam satu portfolio yang diimbangkan semula secara automatik.
Pencapaian ini bermaksud pelabur Muslim di Malaysia kini boleh menggunakan fungsi Stake dan Bundle serta menyimpan aset digital di platform Luno dengan keyakinan bahawa setiap produk pertumbuhan aset secara pasif yang ditawarkan telah dinilai secara bebas berdasarkan keperluan Syariah.
Scarlett Chai, Country Manager Luno Malaysia, berkata, “Apabila kami mengesahkan fungsi Staking Ethereum sebagai patuh Syariah pada Disember 2024, kami komited untuk memperluaskan lagi tawaran produk patuh Syariah agar semua pengguna di Malaysia boleh melabur dengan yakin. Hari ini, kami telah menunaikan janji tersebut. Setiap dompet Staking dan fungsi Luno Large Cap Bundle kini disahkan patuh Syariah, menjadikan Luno sebagai bursa aset digital dikawal selia pertama di Malaysia yang memberikan peluang kepada pelabur Muslim untuk mengembangkan aset digital mereka secara pasif tanpa menjejaskan prinsip kepercayaan mereka.”
“Malaysia merupakan peneraju industri kewangan Islam moden, daripada penubuhan bank Islam pertama pada tahun 1983 hinggalah pengenalan sukuk hijau pertama di dunia. Oleh itu, Malaysia sememangnya berada pada kedudukan yang sesuai untuk menerajui usaha membawa aset digital ke dalam industri kewangan Islam. Dengan lebih daripada 1 juta pelanggan di Malaysia, kami berbesar hati menjadi bursa yang merealisasikan usaha ini dan kami akan terus bekerjasama dengan penasihat Syariah kami untuk mendapatkan pensijilan bagi lebih banyak aset dan produk baharu seiring dengan perkembangan kami,” tambah Chai.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sharlife, Mohamad Zulhaikal Mat Zukri, berkata, “Semakan Syariah kami telah menilai pengaturan kontrak yang berkaitan dan mekanisme operasi perkhidmatan Staking Luno yang terlibat, termasuk cara transaksi disahkan dan ganjaran diagihkan. Bagi fungsi Large Cap Bundle, kami menilai pengaturan pelaburan, pemilihan aset dan mekanisme pengimbangan semula, termasuk proses penyaringan Syariah yang berkaitan. Berdasarkan skop penilaian kami, kami mendapati bahawa produk yang dinilai adalah selaras dengan prinsip dan keperluan Syariah yang berkaitan. Penyempurnaan pensijilan bagi semua produk Staking yang ditawarkan pada masa ini merupakan satu langkah yang bermakna bagi industri teknologi kewangan Islam di Malaysia.”
“Pelabur Muslim telah lama meminta penjelasan sama ada produk aset digital dibenarkan dalam Islam. Keputusan Luno untuk menjalankan semakan bebas terhadap keseluruhan rangkaian produk pertumbuhan aset secara pasif yang ditawarkan, dan bukannya hanya satu produk, menetapkan satu piawaian yang wajar dicontohi oleh platform lain di rantau ini,” tambah Zulhaikal.
Dari Perbankan Islam, kepada aset digital, Malaysia terus kehadapan
Produk aset digital patuh Syariah merupakan perkembangan semula jadi seterusnya dalam industri kewangan Islam, yang telah lama diterajui oleh Malaysia di peringkat global. Pensijilan Luno ini memperkenalkan fungsi Staking kripto dan Bundle yang menjejak indeks kepada pasaran yang hampir separuh daripada keseluruhan pembiayaan dan hampir dua pertiga daripada pasaran modalnya sudah pun beroperasi berlandaskan prinsip Syariah.
Pada Disember 2024, Luno menjadi bursa aset digital terkawal selia pertama di dunia yang menawarkan fungsi Stake Ethereum yang disahkan patuh Syariah, kemudian diikuti dengan Solana dan Cardano pada Oktober 2025. Pensijilan pada hari ini melengkapkan keseluruhan rangkaian produk Staking dalam tempoh kurang daripada dua tahun sejak pencapaian pertama tersebut.
Produk / Aset Digital | Indikatif Ganjaran Tahunan | Dilancarkan | Status patuh Syariah |
Luno Large Cap Bundle | Menjejak indeks | 21 Nov 2026 | Ya – 10 Nov 2026 |
Avalanche (AVAX) | Sehingga 4.5% | 22 Jan 2026 | Ya – 10 Nov 2026 |
Cosmos (ATOM) | Sehingga 11% | 15 Mei 2025 | Ya – 10 Nov 2026 |
NEAR Protocol (NEAR) | Sehingga 7% | 29 Apr 2025 | Ya – 10 Nov 2026 |
Polkadot (DOT) | Sehingga 7% | 22 Apr 2025 | Ya – 10 Nov 2026 |
Solana (SOL) | Sehingga 5% | 31 Jul 2024 | Ya – 23 Oct 2025 |
Cardano (ADA) | Sehingga 3% | 22 Feb 2024 | Ya – 23 Oct 2025 |
Ethereum (ETH) | Sehingga 4% | 26 Jan 2024 | Ya – 5 Dec 2024 |
Mengenai Luno
Luno merupakan aplikasi pelaburan mata wang kripto global terkemuka dengan misi untuk menaik taraf sistem kewangan dunia kepada sistem yang lebih baik. Sejak penubuhannya pada tahun 2013, Luno telah menjadi peneraju dalam pendidikan dan pelaburan kripto yang bertanggungjawab, dengan memperkenalkan mata wang kripto kepada lebih 13 juta pengguna. Luno tersedia di Asia dan Afrika.
Luno menawarkan produk dan perkhidmatan yang memudahkan pengguna membeli, menyimpan dan mempelajari mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum dengan selamat. Di Malaysia, Luno merupakan bursa aset digital terkemuka dan yang pertama dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dengan menyediakan platform yang selamat dan terjamin kepada individu serta institusi untuk mula melabur dalam mata wang kripto.
Urus niaga aset digital melibatkan risiko yang ketara. Nilai aset digital sangat tidak menentu, dan anda mungkin mengalami kerugian kewangan. Anda harus mempertimbangkan dengan teliti sama ada perkara ini sesuai untuk anda dan situasi kewangan anda. Sila baca Terma serta Amaran Risiko kami di sini sebelum memulakan urus niaga.
Maklumat ini tidak bertujuan untuk menjadi dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat kewangan, percukaian, undang-undang, pelaburan atau nasihat lain; mahupun sebagai galakan untuk berdagang. Maklumat ini disediakan sebagai ulasan pasaran umum untuk tujuan maklumat sahaja. Pensijilan Syariah adalah terhad kepada produk dan pengaturan aset digital khusus yang ditawarkan oleh Luno, dan tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan Syariah secara umum. Sebelum membuat sebarang keputusan atau mengambil sebarang tindakan berkaitan kewangan anda, sila berunding dengan penasihat kewangan bertauliah terlebih dahulu.
Mengenai Sharlife
Sharlife Sdn. Bhd. merupakan firma penasihat Syariah dan teknologi yang berdaftar sebagai penasihat Syariah dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dengan kepakaran dalam pasaran modal Islam, aset alternatif dan kewangan sosial Islam. Menerusi Sharlife Advisory, Sharlife Analytics dan Sharlife Academy, firma ini menyediakan khidmat nasihat dan pensijilan Syariah, penyaringan Syariah bagi saham, dana dan mata wang kripto, penyelesaian penyaringan berasaskan teknologi serta latihan kepada institusi kewangan, platform pelaburan dan perniagaan lain. Sharlife menggabungkan kepakaran kewangan Islam dengan teknologi untuk menyokong pembangunan dan pematuhan berterusan produk serta perkhidmatan patuh Syariah.

