Notis Privasi Calon Pekerja Luno

Dasar privasi pengambilan

Dikemas kini terakhir:

12 Mac 2025

Notis ini menerangkan cara Kumpulan Luno dan anak syarikat milik penuhnya ("Luno") memproses data peribadi berkenaan pemohon pekerjaan. Syarikat Luno di negara yang anda mohon bertanggungjawab untuk melindungi data peribadi. Syarikat yang memegang tanggungjawab tersebut biasanya dikenali sebagai "pengawal data" atau "pihak yang bertanggungjawab.", bergantung kepada tempat anda berada. Sila baca notis ini dengan teliti.

Notis ini disemak secara berkala dan boleh dikemas kini. Kami akan memastikan versi terkini notis ini diterbitkan di sini.

Gambaran keseluruhan tentang proses pengambilan bekerja kami

Kami menerima permohonan terus daripada anda melalui laman web kami atau LinkedIn, yang dimasukkan ke dalam sistem penjejakan pemohon kami iaitu Greenhouse (ATS), atau daripada perekrut yang memuat naik CV terus ke ATS. Pengurus pengambilan pekerja akan menyemak permohonan dan menyenarai pendek pemohon bersama-sama dengan pasukan pemerolehan bakat untuk peringkat seterusnya iaitu sama ada ujian bawa pulang atau temu duga pusingan pertama. 

Kami akan menghubungi pihak rujukan anda apabila kami membuat keputusan untuk memberikan tawaran kerja selain melakukan semakan latar belakang dan mengesahkan hak anda untuk bekerja di negara tempat anda memohon. Jika permohonan anda berjaya dan anda menerima untuk bekerja dengan Luno, data peribadi anda akan menjadi sebahagian daripada fail pekerja dan akan diproses mengikut notis privasi pekerja kami.

Data peribadi yang diperoleh dan diproses oleh pihak kami

Kami memperoleh beberapa kategori data peribadi daripada pelbagai sumber. Kami memerlukan maklumat ini untuk menilai kesesuaian anda bagi jawatan tersebut dan untuk pengambilan bekerja. Anda tidak diwajibkan untuk memberi maklumat yang diminta. Walau bagaimanapun, kegagalan untuk memberi maklumat mungkin menjejaskan permohonan bekerja anda dengan kami.

Klik di sini untuk melihat kategori data peribadi khusus yang mungkin diproses oleh pihak kami

Kategori

 

Jenis data peribadi 

 

Butiran asas anda

 

Nama anda, alamat e-mel, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan daerah atau bandar tempat anda berada

 

Butiran permohonan anda

 

CV dan surat pengiring, butiran pekerjaan semasa dan sebelum ini serta pengalaman yang relevan, kemahiran dan kelayakan anda, pendidikan anda, sebab-sebab anda memohon pekerjaan di Luno, tempoh notis, gaji, jangkaan manfaat dan mana-mana maklumat lain yang dimasukkan ke dalam permohonan anda

 

Temuduga dan penilaian

 

Maklumat yang dikumpul semasa temuduga, seperti rakaman temuduga dan transkripsi daripadanya, dan daripada penilaian atas talian atau ujian bawa pulang

 

Status imigresen dan hak untuk bekerja anda

 

Maklumat yang dikumpul semasa temuduga dan daripada maklumat yang anda berikan bersama permohonan anda

 

Maklumat pihak rujukan

 

Kami mungkin menerima maklumat tentang anda dan permohonan anda daripada rujukan yang dinamakan seperti tarikh-tarikh pekerjaan sebelum ini, jawatan yang dipegang, tugasan yang dijalankan, prestasi, rekod disiplin, kualiti peribadi, kemahiran, sebab meninggalkan jawatan sebelum ini dan maklumat lain yang tertentu tentang anda yang mungkin diberikan secara sukarela

 

Maklumat saringan latar belakang

 

Rekod jenayah, rekod kredit, pengesahan pengenalan, saringan sekatan dan semakan parti yang terdedah secara politik

 

Permohonan terdahulu atau pekerjaan dengan Luno

 

Data permohonan atau rekod terdahulu yang berkaitan dengan pekerjaan terdahulu (jika kami masih mempunyai maklumat ini dalam rekod)

 

Maklumat daripada sumber awam

Profil media sosial, penyedia saringan, pangkalan data kerajaan dan semakan media negatif


Data peribadi yang sensitif

Kami mungkin dikehendaki untuk mengumpul data peribadi yang dianggap sensitif atau dikelaskan sebagai data peribadi "kategori khas". Data peribadi sensitif biasanya memerlukan perlindungan tambahan di bawah undang-undang tempatan. 

Kami hanya akan memproses data peribadi yang sensitif untuk tujuan yang terhad dan apabila dibenarkan oleh undang-undang tempatan dalam keadaan berikut:

  • Kami mungkin meminta anda mendedahkan kewujudan sebarang penyenaraian penipuan, sabitan jenayah dan/atau kesalahan sebagai sebahagian daripada peringkat akhir proses permohonan untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan tawaran jawatan yang relevan kepada anda. Kami juga boleh menyemak maklumat ini secara bebas dengan pembekal perkhidmatan luar bersama-sama dengan maklumat tentang skor kredit anda. Memandangkan sifat perkhidmatan yang ditawarkan oleh Luno kepada pelanggannya, setiap jawatan memerlukan tahap kepercayaan dan integriti yang tinggi. Oleh itu, kami menggunakan maklumat ini untuk memastikan kesesuaian anda dengan jawatan yang diberikan.                                                                                                                                                                                                                    

  • Anda boleh mendedahkan kepercayaan agama anda, status hilang upaya, kesihatan atau sebarang keadaan perubatan yang akan membantu kami menyesuaikan keadaan semasa proses pengambilan bekerja.                                                                                                                                                             

  • Bagi calon di Afrika Selatan, kami mungkin meminta anda memberitahu kami bangsa, jantina dan status ketidakupayaan anda bagi tujuan merekodkan data, sekiranya diperlukan untuk memenuhi kewajipan transformasi yang relevan dengan pengambilan pekerja.

Sebab kami menggunakan data peribadi

Bahagian ini menerangkan sebab kami menggunakan data peribadi dan asas undang-undang yang terpakai bagi penggunaannya. Dalam kebanyakan keadaan, kami menggunakan data peribadi demi kepentingan kami yang sah untuk berbuat demikian, untuk mengambil langkah-langkah ke arah memasuki kontrak pekerjaan dengan anda dan untuk mematuhi kewajipan undang-undang kami. Kami juga mungkin meminta persetujuan anda sebelum menggunakan data peribadi tertentu mengenai anda, termasuk jika undang-undang negara tempat tinggal anda tidak mengiktiraf salah satu asas undang-undang ini atau lebih.

Klik di sini untuk meneliti sebab-sebab kami memproses data peribadi secara lebih terperinci

Untuk menentukan kesesuaian anda bagi jawatan tersebut, untuk membuat keputusan bagi mengambil bekerja dan untuk menguruskan proses pengambilan pekerja kami. 

Ini mungkin termasuk memproses data peribadi untuk menilai permohonan anda, membincangkan peranan dengan anda semasa temuduga, menilai kemahiran, kecekapan dan pengetahuan anda melalui ujian bawa pulang atau ujian bertulis dalam talian dan berkomunikasi dengan anda tentang permohonan anda.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan kami yang sah dalam mengambil bekerja calon yang berkelayakan dan berpengalaman dan untuk mengambil langkah-langkah, atas permintaan anda, untuk memeterai kontrak pekerjaan dengan anda.

 

Untuk menjalankan saringan dan pemeriksaan latar belakang pra-pekerjaan yang munasabah dan setara.

Ini mungkin termasuk menjalankan carian di media awam, media sosial, semakan rekod jenayah dan semakan lain yang diperlukan untuk jawatan tersebut, termasuk untuk menyemak status hak untuk bekerja dan untuk menghubungi dan membincangkan permohonan anda dengan pihak rujukan anda.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan kami yang sah dalam mengambil bekerja calon yang bersesuaian dan untuk mengambil langkah-langkah, atas permintaan anda, untuk memeterai kontrak pekerjaan dengan anda.

 

Untuk menghubungi anda tentang jawatan yang tersedia di masa hadapan dan acara kerjaya. 

Kami akan meminta persetujuan anda sebelum menggunakan data peribadi atas sebab ini. 

 

Untuk menyediakan anda kemudahanyang bersesuaian semasa proses pengambilan pekerja. 

Contohnya, untuk membantu memenuhi sebarang keperluan berkaitan masalah kesihatan atau diet.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan sah kami dalam menyediakan kemudahan untuk calon tertentu. Sila lihat juga bahagian tentang pemprosesan data peribadi yang sensitif.  

 

Untuk mematuhi undang-undang berkenaan kepelbagaian, keterangkuman, peluang saksama dan anti-diskriminasi yang memerlukan penyimpanan rekod dan pelaporan.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada keperluan kami untuk mematuhi kewajipan undang-undang atau, apabila maklumat sedemikian diperuntukkan secara sukarela, kami akan meminta kebenaran anda.

 

Untuk mencipta profil pekerja anda, menyediakan kontrak pekerjaan anda dan mula memasukkan anda ke dalam sistem kami, sekiranya permohonan anda berjaya.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan kami yang sah dalam menjalankan orientasi yang pantas dan cekap dan untuk mengambil langkah-langkah, atas permintaan anda, untuk memeterai kontrak pekerjaan dengan anda.

 

Untuk melindungi hak kami sekiranya berlaku pertikaian, litigasi, dsb.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada keperluan kami untuk mematuhi kewajipan undang-undang, untuk mewujudkan atau mempertahankan tuntutan undang-undang, untuk kepentingan sah kami dalam membela diri dan pekerja kami atau untuk melaksanakan hak kami.

 

Untuk melindungi hak dan harta benda kami, serta keselamatan pekerja kami dan individu-individu lain. 

Ini mungkin termasuk mengumpul data peribadi untuk mencegah, mengesan dan memberi respons terhadap insiden keselamatan dan aktiviti penipuan, untuk melindungi premis pejabat kami dan atas sebab-sebab kesihatan awam atau sebaliknya sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan sah Luno dan pihak ketiga atau untuk melindungi kepentingan penting seseorang individu (hanya dalam keadaan terhad yang biasanya suatu kecemasan).

 

Apabila anda dirujuk oleh pekerja Luno atau alumni.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan sah kami dalam mengambil bekerja calon yang berkelayakan dan berpengalaman.

 

Untuk memantau kepelbagaian, keterangkuman dan peluang saksama di Luno. 

Ini biasanya melibatkan pengumpulan maklumat tanpa nama semasa proses pengambilan pekerja kami. Kami melakukan perkara ini untuk menilai sejauh mana keberkesanan dasar kami.

Untuk melakukan perkara ini, kami bergantung kepada kepentingan sah kami dalam pembangunan dan penambahbaikan proses pengambilan kami yang berterusan.


Cara kami memperoleh data peribadi

Kami memperoleh data peribadi daripada sumber-sumber berikut:

  • Anda, sebagai pemohon pekerjaan, apabila anda menyerahkan permohonan anda dalam talian atau menghantar permohonan spekulatif melalui e-mel.                                                                                                                                                                                                                                                                

  • Pihak yang menjadi nama rujukan anda apabila kami menghubungi mereka bagi membincangkan permohonan anda.                                                     

  • Sumber yang tersedia secara umum seperti LinkedIn, laman kerjaya dan papan pemberitahuan pekerjaan.                                                                         

  • Pekerja Luno atau alumni yang telah merujuk anda kepada kami.                                                                                                                                                     

  • Perekrut dan pengambil pekerja.                                                                                                                                                                                                                 

  • Pihak ketiga lain seperti perkhidmatan saringan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa kerajaan. 

Dengan siapa kami berkongsi data peribadi dan sebabnya

Luno mengambil penyedia perkhidmatan pihak ketiga dan bekerjasama dengan rakan niaga dan pihak ketiga lain yang menyokong proses pengambilan pekerja kami. Ini memerlukan kami untuk berkongsi atau memberi akses kepada data peribadi bagi tujuan-tujuan yang diberikan di bawah.

Pembekal perkhidmatan pihak ketiga

Pembekal perkhidmatan kami yang membantu kami menguruskan proses pengambilan pekerja. Para penyedia ini bertindak bagi pihak kami sebagai pemproses data dari segi kontrak dengan Luno. Mereka tidak boleh memproses data peribadi tentang anda melainkan kami telah mengarahkan mereka berbuat demikian dan mereka tidak boleh berkongsi data tersebut dengan orang lain. Semua penyedia perkhidmatan pihak ketiga kami dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang sesuai bagi melindungi data peribadi anda dan merahsiakannya.

Penyedia perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengambilan pekerja kami adalah termasuk:

  • Greenhouse: Jika anda memohon kepada kami melalui laman web, anda akan menyerahkan permohonan anda kepada kami melalui Greenhouse, yang akan menyimpan data permohonan anda. Hanya pekerja Luno yang diberi kuasa akan mempunyai akses kepada permohonan tersebut. Greenhouse menyediakan perkhidmatan ini kepada kami di bawah kontrak.                                                                                                                

  • HackerRank: untuk menjalankan ujian pra-pekerjaan kami.

Kumpulan Luno 

Sesetengah tugasan pengambilan pekerja tertentu mungkin dijalankan oleh pekerja syarikat Luno selain daripada syarikat tempat anda memohon, bagi memproses permohonan tersebut. Semua entiti kumpulan Luno diwajibkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang sesuai bagi melindungi data peribadi anda dan menyimpannya secara sulit.

Pihak ketiga yang lain

Kami juga mungkin berkongsi data peribadi anda dengan pihak ketiga ini:

  • Perkhidmatan saringan latar belakang seperti Refinitiv WorldCheck, HireRight, LexisNexis, MIE serta pangkalan data pihak kerajaan.                      

  • Perekrut, untuk memaklumkan kepada mereka tentang keputusan permohonan anda.                                                                                                              

  • Pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang                                                                                                                                                                                  

  • Agensi kerajaan dan kawal selia lain 

Apabila pemprosesan data dibuat bagi pihak kami, kami telah menyediakan perjanjian berasingan dengan penyedia perkhidmatan yang dipanggil perjanjian pemprosesan data. Ini memastikan mereka memproses data peribadi berdasarkan arahan kami dan menggunakan pendekatan teknikal dan berorganisasi yang sesuai untuk memastikan keselamatan data peribadi dan untuk melindungi hak anda.

Pada masa tertentu, pihak-pihak ketiga ini akan menggunakan data peribadi untuk mematuhi pematuhan undang-undang mereka, sebagai contoh, pemproses pembayaran dan bank. Apabila mereka melakukan perkara ini, mereka melakukannya sebagai pengawal data dan bertanggungjawab terhadap pematuhan undang-undang perlindungan data.

Pemindahan data peribadi di peringkat antarabangsa

Data peribadi mungkin dipindahkan ke, dan diproses di, negara selain negara tempat anda berada. Negara-negara ini mungkin mempunyai undang-undang perlindungan data yang berbeza dengan undang-undang di negara anda dan mungkin mempunyai undang-undang yang memberikan tahap perlindungan yang lebih rendah. 

Sebagai contoh, data peribadi akan diproses oleh syarikat-syarikat Luno dalam pelbagai bidang kuasa dan oleh pihak ketiga kami yang beroperasi di seluruh dunia. Kami hanya akan memindahkan data peribadi jika dibenarkan oleh undang-undang tempatan dan dengan perlindungan yang sesuai seperti klausa kontrak standard. 

Tempoh kami menyimpan data peribadi

Jika permohonan anda berjaya dan anda menerima tawaran daripada kami, data peribadi akan disimpan selaras dengan notis privasi pekerja kami. 

Jika anda tidak berjaya, kami akan menyimpan data peribadi anda sehingga 12 bulan selepas kami memaklumkan keputusan kami kepada anda, melainkan undang-undang tempatan memerlukan tempoh masa yang lebih lama, selaras dengan dasar pengekalan data dan jadual pengekalan kami. Kami menyimpan permohonan anda sekiranya berlaku tuntutan undang-undang dan untuk memastikan proses pengambilan pekerja kami adil, telus dan tidak mendiskriminasi secara tidak adil. Kami juga akan menyimpan data peribadi anda untuk pengauditan dalaman dan pengumpulan bakat, serta data teragregat tanpa nama untuk menganalisis keberkesanan dasar kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman kami. Selepas tempoh ini, kami akan melupuskan permohonan anda dengan selamat. 

Kami akan meminta kebenaran anda untuk menyimpan permohonan anda lebih lama daripada 12 bulan jika kami mendapati anda mungkin sesuai dengan peluang-peluang lain yang akan muncul di masa hadapan.

Menjaga keselamatan data peribadi

Luno sangat mementingkan keselamatan data dan telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang sesuai untuk mengelakkan data peribadi daripada hilang secara tidak sengaja, digunakan atau diakses dengan cara yang tidak dibenarkan, melalui perubahan atau pendedahan. Kami mengehadkan akses kepada data peribadi anda kepada pekerja, ejen, kontraktor dan pihak ketiga lain yang menjalankan perniagaan berkaitan dengan proses pengambilan pekerja tersebut. Mereka hanya akan memproses data peribadi anda atas arahan kami dan mereka juga tertakluk kepada kewajipan kerahsiaan. Kami juga mempunyai prosedur untuk menangani sebarang pelanggaran keselamatan data yang disyaki dan akan memberitahu anda dan mana-mana pengawal selia yang berkenaan tentang pelanggaran yang disyaki di mana kami dikehendaki secara sah untuk berbuat demikian.

Hak-hak anda

Bergantung pada undang-undang yang terpakai dan keadaan pemprosesan, anda mungkin berhak untuk melaksanakan hak-hak yang berikut:

  • Meminta kami untuk memberikan akses kepada data peribadi kepada anda. 

Hak ini membolehkan anda menerima pengesahan bahawa kami sedang memproses data peribadi yang berkaitan dengan anda dan anda juga kadangkala boleh meminta salinan data peribadi tersebut. Ingat bahawa anda boleh mengakses dan mengemaskini butiran anda pada Greenhouse pada bila-bila masa.

  • Meminta agar data peribadi yang berkaitan dengan anda dipadamkan. 

Hak ini membolehkan anda meminta kami untuk memadamkan atau mengalih keluar data peribadi mengenai anda. Sila ambil perhatian bahawa kami mungkin tidak dapat mematuhi permintaan anda sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya kerana sebab undang-undang tertentu. Kami akan menghubungi anda untuk memaklumkan sebab kami mengambil keputusan sedemikian sekiranya kami tidak dapat memenuhi permintaan anda.

  • Membantah pemprosesan data peribadi kami. 

Apabila kami memproses data peribadi berdasarkan kepentingan sah kami tetapi anda percaya bahawa terdapat keadaan di mana kami tidak sepatutnya dibenarkan berbuat demikian, anda boleh menghantar satu bantahan. Walau bagaimanapun, kami mungkin boleh, dalam keadaan tertentu, menunjukkan alasan sah yang mengetepikan bantahan anda. Jika kami percaya bahawa kami mempunyai alasan sah yang mengetepikan bantahan anda, kami akan menghubungi anda untuk memaklumkan sebab kami mengambil keputusan sedemikian. Anda juga boleh membantah pemprosesan kami untuk tujuan menghantar komunikasi pemasaran langsung kepada anda. 

  • Meminta pemprosesan disekat. 

Jika anda tidak pasti tentang ketepatan data peribadi yang kami proses berkaitan dengan anda atau anda beranggapan kami tidak sepatutnya memproses data tersebut atau sebab kami memproses data ini tidak jelas, anda boleh meminta kami untuk menyekat pemprosesan.

  • Meminta data peribadi yang berkaitan dengan anda diperbetulkan atau dikemas kini. 

Anda boleh meminta kami mengemas kini sebarang rekod yang tidak tepat atau sudah lapuk. Ingat bahawa anda boleh mengakses dan mengemaskini butiran anda pada Greenhouse pada bila-bila masa. 

  • Membuat aduan kepada pihak berkuasa penyeliaan. 

Anda mungkin mempunyai hak di bawah undang-undang tempatan untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa penyeliaan tempatan di negara anda. 

Luno akan menghormati hak-hak ini setakat yang dikehendaki oleh undang-undang. Anda boleh menggunakan hak anda dengan mengemukakan permintaan anda kepada [email protected] dengan serta-merta.

Cara untuk menghubungi kami

Jika anda mempunyai sebarang soalan berkaitan dengan Notis Privasi ini atau bagaimana kami menguruskan data peribadi, sila hubungi Pasukan Talent Aquisition segera.